| Satu-satunya cara untuk mengetahui samada anda telah
dijangkiti virus HIV adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV.
Ujian Antibodi HIV ialah ujian darah bagi mengesan kehadiran
antibodi HIV dalam tubuh. Antibodi ialah sejenis protin yang
dihasilkan oleh tubuh badan bagi melawan anasir-anasir asing
seperti kuman dan virus yang menyerang sistem badan. Terdapatnya
antibodi HIV dalam darah menunjukkan jangkitan HIV telah berlaku.
Bagaimanapun bagi jangkitan HIV, antibodi HIV yang dihasilkan
ini hanya mampu melawan virus HIV ini di peringkat awal
jangkitan. Bila virus HIV ini membiak dan menjadi semakin banyak,
antibodi HIV ini menjadi semakin lemah dan tidak berupaya
melawannya. Mengikut cadangan doktor, ujian HIV ini perlu
dijalankan setelah 3 bulan daripada tarikh kemungkinan terkena
jangkitan, walaupun bagi sebahagian orang kewujudan antibodi HIV
dalam darah dapat dikesan seawal 2 minggu atau secara puratanya
25 hari selepas jangkitan. Bagi sebahagian orang pula antibodi
HIV hanya dapat dikesan dalam darah setelah 3 bulan. Jika
keputusan ujian setelah 3 bulan itu adalah negatif maka anda
perlu membuat satu ujian HIV lagi setelah 6 bulan daripada
tarikh kemungkinan terkena jangkitan. Ini kerana tubuh mungkin
mengambil masa selama enam bulan untuk mengeluarkan antibodi HIV
secukupnya. Jadi 2 ujian setelah 3 bulan dan setelah 6 bulan
mampu memberikan keputusan yang lebih meyakinkan.
Ujian pertama yang menunjukkan keputusan negatif iaitu
setelah 3 bulan bermakna antibodi HIV tidak dikesan di dalam
contoh darah yang diuji. Namun ini belum mengesahkan bahawa
orang berkenaan bebas daripada HIV. Ini adalah kerana terdapat
satu tempoh (yang dipanggil “window period”) dimana antibodi HIV
tidak dapat dikesan didalam darah kerana badan belum
menghasilkannya, walaupun telah terdapat virus HIV yang banyak
dalam darah atau air mani. Waktu antara jangkitan dengan
penghasilan antibodi HIV dipanggil “Window Period”. Jadi
sepatutnya mereka yang dikesan negatif dalam ujian pertama,
perlu menjalani ujian darah sekali lagi setelah 3 bulan lagi (iaitu
setelah 6 bulan daripada tarikh kemungkinan terkena jangkitan)
supaya status anda dapat ditentukan dengan lebih yakin.
Perlu diingatkan bahawa dalam jangkamasa enam bulan elakkan
aktiviti-aktiviti berisiko tinggi agar ujian-ujian anda tidak
sia-sia.
Keputusan yang positif bermaksud antibodi HIV telah dikesan
dalam darah. Walau bagaimanapun, ini tidak semestinya bermakna
orang itu akan jatuh sakit dalam masa yang singkat. Seseorang
yang positif HIV perlu mendapatkan kaunseling dan rawatan yang
sempurna untuk mengekalkan kesihatan dan memanjangkan hayatnya.
Kit ujian HIV ini boleh mengesan kehadiran antibodi HIV 1 & 2
dalam darah dengan ketepatan 99.9%. |